Bagi orang luar Melaka, Sungai Rambai mungkin agak asing bagi mereka. Ini kerana kawasan ini kurang mendapat tempat dalam kawasan pelancongan di negeri Melaka.
Namun baru-baru ini kawasan Sungai Rambai menjadi tular di media sosial hingga menyebabkan kawasan rekreasi Laman Belia ini terus dikunjungi orang ramai. Kenapa sebuah pekan kecil ini menjadi popular? Kalau ikutkan Laman Belia ni sunyi sedikit masa dahulu namun lepas PKP ia menjadi tumpuan pengunjung.
Ia kerana keindahan sungai di kawasan tersebut yang jernih sehingga mendapat tempat di kalangan orang ramai. Melakacool mungkin agak terlewat menulis mengenai berita ini tetapi kali ini kunjungan kami ke sana memang tidak sia-sia.
Kawasan Laman Belia ini sedikit sukar untuk dikunjungi. Meskipun terletak berhampiran lebuhraya AMJ namun tiada laluan masuk untuk ke sana melalui lebuhraya itu. Anda perlu melalui jalan di Pekan Sungai Rambai untuk meneruskan ke destinasi tersebut.
Kawasan tempat kenderaan agak luas untuk pengunjung datang. Mungkin kenderaan besar seperti bas agak sukar untuk meletak kenderaan. Dari segi sungainya memang ketika kami ke sana, airnya cukup jernih seperti keindahan pantai-pantai. Di kawasan tepi boleh nampak dasar sungainya.
Airnya juga jernih dan boleh lihat keindahannya. Ada satu jambatan gantung yang disediakan untuk pengunjung melintasi bagi merasa suasana keindahan sungai. Cumanya jambatan gantung itu bukanlah melintasi seberang sungai cuma di bahagian tepi sahaja. Tapi boleh rasa ngeri meskipun bukan di tengah sungai.